BAGAIMANA WANITA MENANGANI MENAPOUS?


Apa Itu Menopause ?



Menopause atau juga dikenali sebagai putus haid oleh sesetengah individu merupakan waktu di mana sistem menstruasi seseorang wanita terhenti. Ini berlaku apabila ovari dalam sistem reproduktif wanita tidak lagi mengeluarkan telur untuk disenyawakan. Keadaan ini bukanlah berlaku sehari dua, tetapi ia terjadi secara perlahan-lahan dan melibatkan jangka masa yang panjang. Namun, ia bergantung kepada sesetengah wanita kerana terdapat juga mereka yang mengalami tempoh ini dalam masa yang singkat. 

Secara purata, wanita yang mengalami menopause berada dalam lingkungan umur 52 tahun. Ini bermakna, terdapat sesetengah wanita akan mengalami gejala putus haid apabila menghampiri umur ini. Akan tetapi, tidak mustahil jika seseorang wanita itu mengalaminya lebih awal lagi. Ini berlaku melibatkan beberapa perkara yang tentunya masalah kesihatan. Antaranya :
  • Pembedahan pembuangan ovari.
  • Terapi radiasi terhadap ovari
  • Beguk
  • Pengurangan kromosom
  • Malnutrisi teruk
  • Penyakit autoimun
  • Merokok

Tanda-tanda wanita Menghampiri Menopause.

Wanita yang menghampiri tempoh menopause akan mengalami beberapa simptom yang mungkin berbeza mengikut individu. Akan tetapi simptom yang sama pada mereka adalah kitaran haid yang tidak menentu dan tidak stabil. Antara simptom lain adalah ;
  • Sakit Sendi
  • Kurang fokus
  • Sakit kepala
  • Hot flushes (perpeluhan yang melampau)
  • Sukar tidur
  • Perubahan mood
  • Kekeringan bahagian vagina
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Kencing yang kerap
  • Mengalami simptom lain yang dikaitkan dengan sebelum kedatangan haid.

Kesan Wanita Yang Mengalami Menopause



1. Penyakit Jantung Koronari.

Apa kaitan menopause dengan penyakit jantung koronari terhadap wanita menopause ?

Apabila wanita menghampiri menopause, akan berlakunya penurunan paras estrogen. Fungsi estrogen dalam tubuh wanita adalah mengurangkan peredaran lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol jahat dan meningkatkan lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol baik. HDL berperanan mengeluarkan kolasterol daripada saluran darah, manakala LDL membawa kolesterol dalam salur darah. Apabila paras estrogen menurun, ini bermakna kawalan kepada paras kolesterol akan menurun dan membawa kepada risiko serangan jantung.

2. Osteoporosis

Masalah osteoporosis yang turut dikenali sebagai masalah tulang reput sangat berisiko dihadapi oleh wanita yang menopause. Selain mengawal paras kolesterol dalam darah, estrogen mengawal tulang daripada kehilangan kalsium. Wanita boleh kehilangan 2 hingga 5% kepadatan tulang dari jangkamasa 5 tahun bermulanya menopause.

3. Sistem Genitourinari

Wanita yang mengalami menopause berkemungkinan akan mengalami masalah sewaktu mengadakan hubungan kelamin. Keadaan ini berlaku kerana vulva (bukaan vagina) akan menjadi semakin nipis. Terdapat juga wanita menopause dengan secara tidak sengaja 'terkencing' sewaktu batuk, bersin atau ketawa. Ini kerana uretra semakin tertarik menjauhi tulang pubik.

4. Perubahan Struktur Kulit

Dalam tempoh ini akan berlaku perubahan ketebalan dan keanjalan kulit. Kulit semakin terdedah kepada masalah seperti pigmentasi dan jeragat. Payudara akan kendur serta kedutan kulit akan semakin ketara.

Panduan untuk wanita menopause

1. Minum air putih 6-8 gelas sehari

Minum air secukupnya agar menggalakkan pergerakkan nutrien keseluruh tubuh badan disamping membantu organ berkerja dengan baik.

2. Makan Makanan Seimbang

Pengambilan makanan berkarbohidrat seperti nasi, roti, pasta dan makanan bergandum membolehkan penghasilan tenaga dan protein dalam membantu pembentukkan tisu dan otot badan. Ia turut membekalkan vitamin B, zink dan besi. Pengambilan makanan berserat juga amat digalakkan agar usus lebih sihat disamping mengurangkan paras kolesterol. Sayur-sayuran dan buah-buahan amat bagus untuk mineral dan vitamin. Kurangkan makanan yang mengandungi lemak dan gula yang tinggi untuk mengurangkan risiko kolesterol tinggi.

3. Kurangkan Kafein

Kafein merupakan sumber yang mudah didapati melalui pengambilan kopi, teh, coklat dan minuman berkarbonat. Pengambilannya yang berlebihan menyebabkan ketidakselesaan, tekanan, peningkatan dan ketidakstabilan degupan jantung dan peningkatan darah tinggi, cirit-birit dan kekerapan membuang air kecil jika diambil dalam dos yang tinggi serta mampu meningkatkan frekuensi "hot flushes". Disamping itu, kafein mampu merangsang masalah seperti sakit kepala dan ketidakselesaan.

4. Nutrisi tambahan.

Pengambilan nutrisi tambahan yang mengandungi asid gamma linolik mampu menganggu sindrom sebelum haid, keadaan sakit sendi, emosi serta memperbaiki keadaan kulit, kuku dan rambut.

5. Senaman yang teratur.

Terdapat pelbagai kepentingan senaman, antaranya mengawal berat badan, menjamin kesihatan tulang dan jantung, membantu memperbaiki emosi dan mengurangkan risiko sakit jantung. Senaman akan menggalakkan pengeluaran hormon andorfin dimana ia membuatkan seseorang rasa seronok. Senaman juga meningkatkan paras HDL dalam badan.

6. Rawatan Lain

  • Pengambilan pil hormon estrogen dan progesteron
  • Rawatan herba
  • Homoepati
  • Refleksologi
  • Akupuntur

7. Asid Gamma Linolik yang amat tinggi dalam bunga borage sangat bagus untuk wanita menopause.